|


 |
|

Multimedia Super Koridor (MSK) adalah projek yang akan menjana pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2020 dan membawa Malaysia ke era teknologi maklumat (information age). MSK akan membawa buat pertama kalinya integrasi persekitaran yang unik yang mewujudkan iklim multimedia global. Untuk mempercepatkan pembangunan MSK, aplikasi perdana multimedia telah dikenalpasti.
Aplikasi Perdana
Tujuh aplikasi MSK adalah Kerajaan Elektronik, Kad Pintar Pelbagaiguna, Tele Kesihatan, Kelompok Pembangunan dan Penyelidikan, Sekolah Pintar, ePerniagaan dan Rangkaian Pengilangan Sedunia.
Kerajaan Elektronik
Kerajaan Malaysia melancarkan Kerajaan Elektronik sebagai salah satu Aplikasi Perdana MSK dengan harapan untuk mewujudkan ahli teknologi multimedia re-invent cara Kerajaan beroperasi.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihak Kerajaan telah melantik Syarikat Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDCSB) pada tahun 1999 bagi membangun, mengoperasi dan melaksanakan projek ePerolehan yang dibuat secara Build-Operate-Transfer (BOT). Kontrak selama 8 tahun telah diperpanjangkan kepada 5 tahun lagi sehingga bulan April 2012.
Kerajaan Elektronik akan memperbaiki cara Kerajaan beroperasi dan pada masa yang sama memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.
Ia akan meningkatkan kualiti, keselesaan dan komunikasi di antara orang ramai dan agensi-agensi Kerajaan. Pada masa yang sama memperbaiki aliran informasi di antara agensi Kerajaan bagi meningkatkan kualiti dan mempercepatkan pembentukan dasar, penyelarasan dan penguatkuasaan.
Dengan wujudnya potensi ekonomi digital secara global dan di atas kesedaran ini, Kerajaan melancarkan perolehan elektronik sebagai aplikasi perintis di bawah Kerajaan Elektronik.
ePerolehan
Sistem perolehan elektronik yang dikenali sebagai ePerolehan akan mengemaskan aktiviti perolehan kerajaan dan membaiki kualiti perkhidmatan yang berkaitan dengannya. ePerolehan akan menukar cara perolehan kerajaan dari manual kepada elektronik menerusi internet.
ePerolehan akan membolehkan syarikat pembekal mempamir dan memperkenalkan barangan keluarannya dalam world wide web, menerima, mengurus dan memproses permintaan pembelian serta menerima bayaran daripada agensi kerajaan menerusi internet.
Katalog produk syarikat boleh dipamirkan secara elektronik samaada dalam bentuk 2D atau 3D dan boleh dilihat melalui komputer dengan pelayar web.
Syarikat pembekal juga boleh mengemukakan sebutharga, mendapatkan dokumen tender dan mengemukakan tawaran tender melalui ePerolehan.
ePerolehan membenarkan syarikat pembekal mendaftar dan memperbaharui pendaftaran dengan Kementerian Kewangan menerusi internet. Syarikat pembekal boleh mengemukakan borang permohonan, menyemak status permohonan dan membuat pembayaran pndaftaran melalui ePerolehan.
Projek ePerolehan telah bermula sejak tahun 1999. Pada 6 Oktober 2000 ePerolehan telah berjaya melancarkan 2 modul iaitu perolehan menerusi Kontrak Pusat dan Pendaftaran Pembekal. Seterusnya modul Pembelian Terus dilancarkan pada 10 Mei 2002. Akhir sekali modul Sebutharga dan Tender pada 27 Mei 2003.
Pihak Kerajaan sedang membangunkan satu modul baru, Modul eBidding yang dijangka akan dapat dilaksanakan pada bulan September 2007. Pilot test telahpun dibuat di beberapa Kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.
|