|
|

Unit ePerolehan telah memperluaskan penggunaan ePerolehan (eP) kepada pengguna-pengguna di Borneo yang merangkumi Sabah, Sarawak dan Labuan. Buat permulaan untuk mendapatkan maklumat pengguna ePerolehan dari Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Borneo ini, beberapa orang pegawai dari Unit ePerolehan dan Commerce Dot Com telah dilantik untuk bekerjasama bagi tujuan pengumpulan data.
Pada 20 Julai 2006, satu program taklimat dan pengumpulan data PTJ sekitar Kuching yang diadakan di Auditorium Tingkat 17, Bangunan Sultan Iskandar Kuching Sarawak. Program ini telah mendapat kerjasama dari Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak. Sebagai perintis hanya 58 PTJ (5 pengguna setiap PTJ) di Sekitar Kuching yang telah benar-benar bersedia menggunakan ePerolehan telah dipilih dan dijemput ke program ini. Program ini telah dihadiri oleh Pengarah Projek ePerolehan, Timbalan Pengarah Projek ePerolehan, Urusetia yang terdiri dari pegawai-pegawai Unit ePerolehan dan Commerce Dot Com Sdn. Bhd.
Di Sandakan, program taklimat dan pengumpulan data PTJ diadakan pada 24 Julai 2006 bertempat di Dewan Institut Latihan Perindustrian Sandakan. Bagi tujuan ini terdapat 18 PTJ telah terpilih dan dijemput ke program ini.
Program yang sama telah diadakan bagi pengumpulan maklumat PTJ sekitar Tawau, Sabah pada 26 Julai 2006 bertempat di Dewan Kolej Kejururawatan Tawau bagi 20 PTJ telah terpilih.
Pada akhir tahun 2006, Unit ePerolehan dengan kerjasama Commerce Dot Com telah menetapkan sasaran bagi tahun 2007 dan pelan untuk jangkamasa 5 tahun akan datang sehingga tahun 2012. Misi pelaksanaan ePerolehan untuk tahun 2007 adalah memperlengkapkan modul-modul dalam sistem ePerolehan dan meningkatkan penggunaan ePerolehan di semua 28 Kementerian berserta jabatan-jabatan di bawahnya.
Sehubungan itu, tiga Indeks Pengukuran Prestasi (KPI) bagi misi pelaksanaan tahun 2007 telah dikenalpasti iaitu:
- Jumlah nilai transaksi RM3 billion di Kementerian/Jabatan melalui ePerolehan iaitu anggaran sebanyak 30% dari jumlah keseluruhan perolehan pada tahun 2010;
- Pertambahan sebanyak minimum 555 bilangan PTJ mempunyai status eP enabled; dan
- Bilangan minimum pembekal yang eP enabled iaitu mempunyai kad pintar dan pembaca kad pintar serta aktif bertransaksi adalah 10,000.
Sehingga akhir Julai 2007, jumlah nilai transaksi melalui ePerolehan adalah sebanyak RM4.5 billion dan bilangan PTJ yang eP enabled adalah sebanyak 1,1419.
|