KEMENTERIAN KEWANGAN
SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN BIL. 12 TAHUN 2007
Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan
Semua Pihak Berkuasa Tempatan
HAD NILAI DAN SYARAT-SYARAT PEMBELIAN TERUS BAGI BEKALAN DAN PERKHIDMATAN
Tujuan
Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) ini bertujuan untuk memaklumkan perubahan kepada had nilai dan syarat-syarat pembelian terus bagi bekalan dan perkhidmatan.
Latar Belakang
2. Peraturan pembelian terus pada masa ini menetapkan pembelian di bawah RM10,000 setahun bagi setiap jenis item boleh diperolehi daripada mana-mana pembekal/ syarikat sama ada berdaftar atau tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan sama ada bertaraf Bumiputera atau bukan Bumiputera. Perolehan melebihi RM10,000 sehingga RM50,000 setahun bagi setiap jenis item hendaklah diperolehi daripada pembekal/syarikat bertaraf Bumiputera yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
Had Nilai dan Syarat-Syarat Pembelian Terus Bagi Bekalan dan Perkhidmatan
3. Syarat-syarat pembelian terus bagi bekalan dan perkhidmatan seperti di atas adalah dipinda dan ditetapkan seperti berikut:
- Pembelian setiap jenis item yang melibatkan jumlah perbelanjaan tahunan sehingga RM50,000 boleh dibuat secara pembelian terus dengan mana-mana pembekal yang berdaftar atau tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan sama ada bertaraf Bumiputera atau bukan Bumiputera;
- Agensi hendaklah membuat kajian pasaran supaya harga bekalan atau perkhidmatan yang hendak diperolehi adalah berpatutan dan menguntungkan Kerajaan di samping memastikan perolehan tidak tertumpu kepada pembekal tertentu selaras dengan prinsip-prinsip perolehan; dan
- Bagi bidang khusus yang memerlukan lesen/permit yang sah atau keperluan lain yang disyaratkan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan, agensi hendaklah memastikan bahawa pembekal yang dipilih mematuhi syarat-syarat tersebut. Antaranya memiliki lesen daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri untuk perkhidmatan kawalan keselamatan, lesen farmasi daripada Kementerian Kesihatan bagi bekalan bahan farmasi dan sebagainya.
4. Klasifikasi bekalan mengikut 'tiap-tiap jenis item atau kelas jenis item' yang terdapat dalam AP 170.1, AP 171.1, AP 173.1 dan AP 184.2(ii) kepada 'setiap jenis item' adalah dikekalkan.
Tanggungjawab Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan
5. Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan adalah bertanggungjawab untuk merancang pembelian terus tahunan agensi dan memastikan pembelian terus tidak dipecah kecil untuk mengelak sebut harga atau tender. Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan juga hendaklah memastikan pembelian terus bagi jenis item yang sama dalam setahun yang melebihi had nilai pembelian terus dibuat mengikut peraturan perolehan semasa yang ditetapkan.
6. Unit Audit Dalam agensi adalah dikehendaki memantau pelaksanaan perolehan secara pembelian terus dan perolehan selanjutnya bagi jenis item yang sama agar agensi mematuhi peraturan ini. Satu rekod lengkap mengenai jenis item yang dibeli, nama pembekal dan nilai perolehan hendaklah disimpan oleh agensi dan dikemukakan kepada Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan setiap tiga (3) bulan serta disalinkan kepada Unit Audit Dalam agensi.
Kuat Kuasa dan Pembatalan
7. SPP ini berkuat kuasa pada tarikh ia dikeluarkan. Dengan berkuat kuasanya SPP ini, SPP Bil. 8 Tahun 2004 adalah dibatalkan.
Sekian, terima kasih.
'BERKHIDMAT UNTUK NEGARA'
Saya yang menurut perintah,

(Dato' Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah)
Ketua Setiausaha Perbendaharaan,
19 Disember 2007
s.k.
Ketua Setiausaha Negara
Ketua Audit Negara,
Akauntan Negara Malaysia
Semua YB Pegawai Kewangan Negeri
|